Salam bahagia,
Entry kali ni saya kongsikan penulisan dan pengalaman rakan Euphoria saya, MommyLyna. Saya suka baca blog MommyLyna (yang kami panggil Alom), sebab banyak info menarik. (^_-)
Jom kita baca panduan penyusuan bagi bayi pra-matang (lahir tidak cukup bulan) yang dikongsikan MommyLyna (pengalaman sendiri). Sebuah pengalaman yang amat berharga yang tak semua orang diberi peluang merasainya.
Pic dari Google
Oleh : Mommy Lyna
Anak kedua saya dilahirkan pramatang pada minggu ke-28 kehamilan. Disebabkan berat badan yang rendah, bayi saya ditempatkan di dalam inkubator selama lebih kurang sebulan, dan seterusnya di dalam bassinet bayi dalam Unit Rawatan Istimewa (Special Care Nursery) sehingga usianya 42 hari.
Penyusuan ibu adalah keperluan utama kepada bayi pramatang. Oleh itu ibu yang mempunyai bayi pramatang yang belum mampu menghisap susu dari payudara, ibu hendaklah mengepam sekurang-kurangnya 8 kali sehari semalam(dalam jarak 3 jam sekali) atau sebaik-baiknya 12 kali sehari semalam (dalam jarak 2 jam sekali).
Bayi pramatang yang ditempatkan dalam inkubator diberi susu melalui tiub, dan kuantiti susu yang diberikan adalah berdasarkan umur dan berat badannya. Pada hari pertama bayi saya diberi 3ml susu sahaja, dan semakin bertambah selari dengan pertambahan berat badannya. Saya telah mengambil supplement yang bersesuaian dan makanan penambah susu, kebanyakkannya adalah hadiah dari teman-teman yang prihatin (terima kasih teman!).
Bayi saya mengalami pertambahan berat yang amat menggalakkan. Purata berat badannya meningkat 20gram sehari, dalam masa sebulan dia telah meningkatkan berat badan dari 1.2kg kepada 1.6kg, berat badan yang mana seorang bayi pramatang boleh keluar dari inkubator. Apabila bayi saya keluar dari inkubator, maka dia tidak lagi memerlukan tiub. Ketika inilah saya belajar menyusukan bayi sekecilnya. Dia diberi minum susu perahan melalui cawan semasa ketiadaan saya.
Kurang dari 2 minggu selepas itu, berat badannya sudah mencapai 1.8kg, dan dibenarkan pulang ke rumah. Syukur pada Allah.
Penyusuan bayi pramatang adalah berbeza dengan bayi cukup bulan, bukan sahaja disebabkan mereka minum susu melalui tiub, bayi pramatang mempunyai tubuh yang sungguh rapuh di mana sistem imuniti belum terbina. Paru-paru dan usus mereka juga amat lembut, oleh itu kebanyakan bayi pramatang memerlukan alat bantuan pernafasan, kerana tanpanya membuatkan mereka berisiko untuk mengalami kerosakan paru-paru. Pemberian susu secara sedikit demi sedikit adalah kerana usus mereka yang belum matang berkemungkinan boleh pecah dan berdarah sekiranya menerima susu yang berlebihan.
Oleh kerana sistem imuniti mereka amat lemah, maka bayi pramatang memerlukan susu ibu yang paling segar, paling elok jika yang baru diperah kerana antibodi yang terkandung belum rosak dan belum membiakkan sebarang bakteria. Namun begitu tidak semua hospital membenarkan ibu bapa melawat bayinya 24 jam (mesti ikut waktu melawat yang biasa), jadi beberapa panduan bagi ibu bapa bayi pramatang:
- Hantarlah susu perahan setiap hari kepada bayi anda kerana susu untuk bayi pramatang tahan selama 24 jam sahaja.
- Jangan dibekukan susu perahan kerana susu yang dibekukan tidak sesuai dengan bayi pramatang.
- Cuba dapatkan bahagian yang lebih berlemak pada susu ibu (biasanya lapisan atas) untuk bayi anda.
- Simpan susu dalam bekas mengikut keperluannya, contohnya jika bayi minum 9ml, maka simpan 9ml.
- Tandakan pukul berapa dan tarikh bila susu yang dihantar ke wad itu diperah, letakkan susu yang terlebih awal diperah di bahagian hadapan peti sejuk agar mudah jururawat untuk mengambilnya.
- Tukar susu lebihan di dalam peti sejuk wad dengan susu yang baru setiap kali anda melawat bayi/menghantar susu.
Selain itu, bayi pramatang memerlukan sentuhan, urutan dan kata-kata semangat terutama dari ibunya. Apabila bayi sudah keluar dari inkubator dan sekiranya keadaan mengizinkan, boleh buat kanggaro care untuk bayi pramatang anda. Sentuhan, urutan, belaian mesra akan membuat bayi anda lebih bersemangat dan menghilangkan rasa takutnya.
Alhamdulillah, kini bayi saya sudah hampir 2 tahun usianya (Disember nanti!). Melihatkan keletahnya membuatkan saya lupa bahawa dia pernah berada di dalam keadaan yang mana 85% peluang untuk hidup (dan 50-50 kerana keadaan fizikalnya).
Sumber :
Sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut, sila berhubung dengan saya melalui :
Email : zainora84@yahoo.com.my
SMS/ WhatsApp : 017 239 4505
Tiada ulasan:
Catat Ulasan